Thursday, 28 August 2014

#6



Lebih dari 20 draft tulisan tinggal tua dalam fail documents di Words atau tidak pun tinggal saved, not published dalam blog personal. Tidak mengapalah, siapa sahaja yang berbakat melukiskan rupa hati sebentuk sama seperti hatinya sendiri. Bukan saya. Fasal-fasal hati ini lebih terang maknanya jika tidak diceritakan sebulat rupa tetapi dilapik-lapik dengan cerita. Semacam membaca cerpen oranglah. Persoalan yang jarang sekali terjawab ialah apa kisah disebalik kisah itu. 

Cis. 

Saya tidak berniat menulis cerita. Mengarang cerita baik di mulut atau pena memang kelemahan yang aula sekali. Dan saya juga kurang berhajat untuk apa yang saya tulis ini jadi bacaan orang sekalipun, kerana kerasnya pengucapan seorang teman sekelas ini mengingatkan saya untuk tidak berharap ‘entitlement’ dari apa-apa hasil sendiri.

Aneh manusia ni. Sebabnya, yang lagi lunak itulah yang lagi banyak diserang sedangkan yang sedia lunak itu sedia membengkok untuk berubah sekehendak tuan.  

Ah, kalau alang tahu betapa mahalnya harga sebuah pelajaran, ntahkah kita akan memilih untuk tahu atau lebih baik berdungu sahaja. Lagi berat hati lagi lekat ajarannya. Tapi hati yang sarat mendukung sakit cemburu boleh bawa ke mana saja, hanya sedepa bulatan dari tempat berdiri, tidak mungkin ke timur, tidak mungkin ke barat. 

Jugalah saya ini orang yang banyak bingungnya. Kerap jadi  tidak keruan bila idea jauh datang mendekat cuba bertarung dengan nilai hidup sedia ada. Karya-karya manusia ini (biarpun pengetahuan saya hanya sejengkal kail cuma) bawa kami ke satu dimensi lain. Susah nak dikata. Nak ditelan tak cukup sama adatnya, nak diluah rasa asin manis semuanya sudah cukup enak pula untuk dimakan. Tapi itu dululah ceritanya. Makin serik tenggelam dalam lautnya kebingungan dan soal-soalan, makin saya lebih dikit berani berada dalam campuran kandungan airnya. Kerana bila mana kita menenggelam diri dalam air, tidak semestinya kita meneguk sekali airnya. Boleh ditahan mulut seperti ditahan nafasnya. Tetapi tidaklah saya ini lebih berani dan teguh daripada tuan puan yang membaca coretnya tulisan ini. Cuma hanya membandingkan diri saya yang dulu-dulu. 

Jujurnya, dalam kematangan menilai kehidupan (tidak lebih matang dari tuan, hanya membandingkan dengan saya dulu), makin tahu cerita manusia makin buntu mahu ikut neraca yang diberikan dalam madrasah agama yang bersifat literalis. Saya mendapat jalan yang susah dalam melangkah ke dimensi baru, tidaklah bagi kebanyakan orang yang sedia faham tabiat manusia. 

Kadang saya tidak tahu apakah saya dulu itu seperti anak-anak jiwanya. Mudah benar merasa kagum pada sekecil-kecil hal sekalipun. Kids are impressionable. Itulah agaknya saya yang dulu dari semenjak pandai turun dari buaian hingga ke satu fasa remaja kemudian sampai kepada waktu ini. Mudah rasa gah pada yang dilihat bukan sahaja ada kaitannya dengan penyakit ain yang bakal terkena orang, tetapi bahananya juga pada diri sendiri kerana ia boleh mengelabukan pemandangan akal dalam meneracakan sesuatu. Dipandang semuanya baik-baik dan sempurna, diperindah-indahkan pula yang sedia indah. Alangkah malang kaki tersadung. Pun begitu, setiap terjelepok ke tanah jadi pengajaran buat tahu bahawa jalan tidak semuanya rata. Ada kelikir dan batu-batu besar jua hai tuan hamba. 

Antara layar hidup paling tragis setahun dua ini bukan saja pada arti bertuhan dan ketuhanan tetapi juga memahami sunnatullah dalam perjalanan hidup. Fahamlah bahawa bekerja keras sahaja tidak guna. Bukan kudrat manusia merealitikan harapan. Tetapi jika mahu berpandukan kepintaran manusia sahaja, berapa keratkah orang yang boleh maju kedepan. Akhir-akhirnya, yang lahir bijak pandai sahaja yang mendokong lapisan intelektualis. Peluang yang kurang adil pula. Tetapi inipun aneh juga bila kita bekerja keras disangka sombong menjauh diri, tapi bila dia bekerja keras perlulah kita menerima. Paling sakit ialah mengetahui bahawa bermimpi dan berharapan juga punya risiko bencana. Hidup deh. Ada hati yang sudah koyak lusuh seperti kain digasak dengan batu-bataan, ditibai-tibai dengan lidi, direnyok pula dalam baldi.  

Akan masuk degree dalam sehari dua lagi, mahulah saya membawa hati yang baru, yang lebih persih dan suci buat tukaran hati yang amatlah luka akibat menjadi orang dagang bermimpikan beradu istana.  Tetapi tidak mengapalah. Dibatalkan niat bukan sahaja kerana hati baru tak mungkin diperoleh tetapi persih dan kesucian bukan nilai yang perlu untuk hidup. Hati perlu keras, cekal, tegap.

Hai itulah berabainya kehidupan yang menceraikan daging dari tulangnya!

No comments:

Post a Comment