Saturday, 21 January 2012

Perjuangan tidak pernah berhenti

Didedikasikan untuk seorang sahabat tercinta -

Beberapa minggu telah berlalu semenjak bermulanya sesi persekolahan 2012. Tentunya pelbagai cabaran sudah dilalui. Cabaran menguji diri sama ada kita tabah atau tidak.

Insan diuji. Dan ujian itu memerlukan kesabaran yang sangat tinggi. Kadang-kadang memang perkara yang remeh. Sekadar permainan perasaan. Tetapi, hati yang mengandungi perasaan itu bisa menjadi sarat dengan beban yang menghimpit jiwa! Berat, tiada kata yang dapat diungkap lagi.

Di dunia, selalunya kita tidak dicabar dengan tentangan manusia secara fizikal semata-mata. Tiadalah kita lihat, bahawa adanya kelompok mengangkat sepanduk dan senjata lalu mengisytiharkan perang dengan kita. Atau, tiadalah wujud golongan yang berkhutbah di tempat awam dan mencela dan mengutuk kita. Tetapi, semua cabaran yang kita lalui kebanyakannya berbentuk tekanan perasaan dan berkait dengan hati.

Ada masa, semangat berjuang kita menurun. Hati rasa tawar untuk melakukan apa2.

Sebahagian waktu yang lain pula, badan rasa sangat lelah. Rasa tidak berupaya untuk mejalankan sesuatu apa pun.

Ada jamnya pula, rasa penat, lelah, putus asa. Seperti mahu menjerit, bebaskan aku dari kehidupan dunia!

Inilah cabaran insan. Sekadar kutukan dua tiga daripada manusia lain, emosi sudah berkecamuk. Apabila tidak mendapat kejayaan yang dimahukan, diri sudah hampir mahu rebah.

Hidup adalah perjuangan. Dan perjuangan memerlukan pengorbanan yang tinggi. Kadang-kadang, diri kita sendiri lupa matlamat kehidupan. Kita mahukan mardhotillah. Kita mahukan syurga abadi impian semua. Dan untuk mendapatkan segala kesenangan dan nikmat di kemudian hari, tidak mungkin, kita tidak uji.

Tak kan Allah mudah2 untuk memberikan jannah kepada kita yang tidak merasai pahit getir sebuah perjuangan, sama dengan para anbiya', auliya', ulama', syuhada' dan para mujahid yang lain?

Maka, pesan pada diri kita, kuatkan diri. Kita mengejar jannah! Jika kita mahukan yang indah, katakan sabar pada diri. Di akhirat  nanti terbendang yang indah itu. Kita di dunia, harus merasai perjuangan ini. Perjuangan yang mengajar erti kehidupan. Menjadikan kita lebih menghargai detik bersama Allah swt pada waktu kesempitan. Dan juga menjadikan kita lebih bersyukur mempunyai manusia2 yang sangat menyayangi diri kita.

Hidup sebuah perjuangan. Jangan pernah lupa itu.

Kerana jika kita lupa, kita akan menjadi lemah. Kerana kita menyangka bahawa kesenangan adalah sesuatu yang kita akan dapat di dunia. Tidak!

Di dunia kita bersusah, di akhirat kita bermewah.

Dan janji Allah swt, orang yang beriman itu tempatnya di syurga, sebaik-baik tempat kembali.

Moga Allah tsabatkan hati kita pada perjuangan ini.

Kita hidup kerana Allah azzawajal..
..Hidup kita untuk mencari mardhotillah..
..Perjuangan kita menegakkan agama Islam..
..Idola kita Nabi Muhammad saw..qudwah hasanah kita. dengan kekuatan dan semangat baginda, kita menyambung rantaian perjuangan para pejuang.

Ingat, hidup kita untuk berjuang. Dan perjuangan itu tidak akan berhenti sehinggalah ke hembusan terakhir.

Terus, terus dan teruslah kita dalam mengembara dalam samudera kehidupan, menghadapi segala badai dan ombak kesusahan.

Jangan patah semangat.

Jangan putus asa. Sungguh, mukmin tidak akan pernah berputus asa dari rahmat Allah.

Moga kita terus berjuang.

Dan bila kita merasa lemah, segera bertahajud pada kebeningan malam.Moga ia mentaqarubbkan kita kepada Rabbuna. Hanya Dia yang membolak-balikkan hati. Dan hanya Dia yang mampu mengembalikan hati kita yang sejahtera.

Moga kita termasuk dalam golongan yang mendapat untung!

No comments:

Post a Comment