Thursday, 19 January 2012

Misteri dan rahsia

Tidaklah saya merasakan sesuatu, melainkan saya merasakan bahawa kehidupan insan itu penuh misteri dan teka-teki. Tanda tanya penuh persoalan, yang jawapannya tidak dapat dirungkai oleh akal nan cetek dan dangkal. Manusia membuat pelbagai pilihan dalam hidup. Dan manusia juga terjebak ke dalam pelbagai perkara sehinggapun yang tidak dia sedari. Celik-celik, dia sudah melayari jauh melalui samudera itu. Samudera itu jalan, sama ada ia kiri atau kanan.

Kadang-kadang saya ingin benar mengetahui kenapa ada manusia memutuskan pilihan ini, kenapa tidak itu. Sedangkan pilihannya itu berlainan dari adat dan kebiasaan. Tentulah tidak salah. Kata salah dan betul terlampau abstrak untuk dibicarakan di sini. Tetapi, ketahuilah, sebahagian keputusan yang dilakukan tiada yang salah, cuma, sama ada ia tepat atau kurang sahaja.

Dan saya ingin sekali mengetahui kenapa ada insan, pilihannya sangat pelik dan berlainan daripada orang lain.

Maaf, memang tidak penting untuk dicatatkan di sini. Tetapi perasaan ingin tahu itu seperti menolak-nolak pintu hati. Ingin sungguh mengetahui rahsia hati mereka. Kenapa Allah memandu mereka untuk memilih keputusan begitu. Begitulah seperti saya, Allah memberi ilham atas perkara yang lain tidak mengetahui. Pasti juga mereka. Kenapa? Saya ingin sekali mengetahui.

Hidup ini penuh misteri dan rahsia. Hanya Pemilik hidup sahaja yang mengetahuinya.

Mungkin, benarlah, sebahagian rahsia itu tidak bermaksud untuk diketahui umum. Cukuplah dia dengan Tuhan. Moga dalam hidup, Allah menggerakkan hati kita memilih keputusan yang benar dan tepat.

No comments:

Post a Comment