Monday, 26 December 2011

Maafkan Mereka

Seketika tadi terpandang perkataan 'ungrateful', mengingatkan saya niat beberapa hari lalu untuk mencoretkan ini:

Lahirnya kita , dengan kehendak Allah, kerana kewujudan ibu bapa kita. Alhamdulillah. Kita diberi nikmat berada di dunia tanpa pernah memintanya pun.

Bagi mana-mana remaja yang mempunyai, mungkin lebih sedikit ilmu daripada yang lain, mereka amat tahu tentang kata2 khalifah Umar al-Khattab bahawa, jika anak2 itu derhaka, ternyata ibu bapa itulah yang terlebih dahulu derhaka kepada anak-anaknya. (Lihat bahagian terbawah entri)

Dahulu, kita kurang kenal akan Islam. Apabila sudah besar, kita makin mengetahui dan mengenali keindahan Islam dan betapa luasnya ilmu dalam Islam. Kita mahu memiliki kehebatan seperti itu, mempunyai banyak ilmu, banyak beramal ibadah, berakhlak mulia dll. Kebanyakkanya kita mencari sendiri. Bukan kerana ibu bapa kita yang mengajarnya kepada kita. Mereka sekadar meletakkan kita di sebuah sekolah agama. Di sana kita ditarbiyyah dan membiarkan kita meneroka sendiri Islam dengan lebih dalam.

Dan kadang-kadang, kita menyalahkan ibu bapa kita kerana mereka tidak mendidik kita menjadi muslim yang sehebat yang kita mahukan.

Lantas kita tidak mampu menjadi anak yang terbaik.

Kita rasa bersalah terhadap ibu bapa kita.

Dalam masa yang sama, kita rasa geram dengan mereka.

Tapi, tidakkah kita ketahui, semua manusia ada kelemahan. Begitu juga ibu bapa kita. Mereka bukan malaikat. Dan seperti manusia2 lain, mereka juga cuba menjadi yang terbaik. Mereka telah cuba menjadi ibu bapa yang terbaik, mendidik anak2 mereka dengan cara yang paling baik yang mereka mampu dan memberi pendidikan yang terbaik untuk kita.

Tapi, kita hanya begini. Muslim biasa yang ilmunya tidak tinggi mana, pengetahuan agamanya terhad, ibadahnya pun sedikit, kepimpinannya juga rendah. Kita serba-serbi tidak sempurna dalam pelbagai perkara.

Kita harus sedar. Kita ialah insan yang selalu cuba membaiki diri. Biarpun hidup selama 70 tahun, kita tetap belajar dan membaiki diri dari bermulanya hidup kita hingga ke saat kita meniggal dunia. Manusia tak akan pernah menjadi manusia terbaik sampai bila2.

Itulah hakikat yang harus kita sedar. Ianya berlaku pada kita..

..dan juga ibu bapa kita.

Maka, kenapa kita tidak terbuka untuk memaafkan kelemahan mereka, seperti mana kita mengharapkan kemaafan mereka atas kesalahan2 yang telah kita lakukan?

Jadilah kita manusia pemaaf.. dan juga meredai.

Sesetengah orang hanya memaafkan, tapi tidak pernah lupa. Lupakanlah kelemahan mereka mendidik kita, kerana selagi kita merasakan mereka manusia yang bersalah, hidup kita penuh dengan cubaan tuduh-menuduh mereka.

-Mereka tidak faham saya yang cuba bersungguh-sungguh melakukan dakwah islahiah

-Saya jadi macam ini kerana mereka. Saya tidak menerima didikan islamik yang sebaiknya

-Mereka itu, mereka ini..

Redalah dengan mereka, kerana kebaikan mereka lebih banyak daripada keburukan mereka.
Redalah dengan mereka, kerana mereka selalu mendoakan kebaikan untuk kita.
Redalah dengan mereka, kerana kasih sayang mereka lebih daripada kasih sayang yang kita berikan kepada mereka.
Redalah dengan mereka, sesungguhnya bakti mereka kepada kita lebih besar daripada bakti kita kepada mereka.

Jadi, siapa kita untuk mempersoalkan kelemahan mereka, yang telah Allah tetapkan, sedangkan kelemahan kita lebih banyak?

Seharusnya, segala kelemahan diri kita dan rintangan hidup yang kita hadapi (yang selalu disalahkan kepada ibu bapa) seharusnya kita lalui dengan membaiki diri, bukan menyalahkan mereka.

Kita hidup di dunia ini, sihat, gembira, menjadi muslim--

--semuanya kerana mereka adalah ibu bapa kita.

Terima kasih umi, abi..
_____________________________________
Pada suatu hari, seorang lelaki datang menghadap Khalifah Umar bin Al-Khattab bagi membuat aduan mengenai perilaku anaknya yang menderhaka kepadanya. Khalifah Umar mendengar dengan teliti aduan yang dibuat, kemudian meminta lelaki itu membawa anaknya datang berjumpa dengannya.

  Setelah anak lelaki itu sampai, Umar Al-Khattab berjumpa dengan anak lelaki berkenaan. Umar menasihatinya agar dia tidak lagi mengulangi perbuatan menderhaka kepada ibu bapanya. Umar juga menyuruh agar dia sentiasa menghormati dan berbuat baik kepada mereka. Selepas selesai Saidina Umar memberi nasihat kepada anak lelaki tadi, anak ini meminta kebenaran untuk bertanya beberapa soalan kepada Saidina Umar. Saidina Umar melayani kemahuan anak lelaki itu.

  "Tuan, bukankah anak-anak juga mempunyai hak-haknya daripada ayah mereka." Tanya si anak. "Ya, sudah tentu." Jawab Saidina Umar. Si anak bertanya : "Apakah hak-hak itu, tuan?" Saidina Umar menjelaskan : "Hak si bapa memilih siapa yang menjadi ibu kepada anak-anaknya, hak memberikan nama yang baik kepada anak-anak dan hak mengajar membaca al-Quran kepada anak-anak."

  Apabila mendengar penjelasan Saidina Umar itu, si anak lelaki tadi mengadu kepada Saidina Umar : "Tuan, ayah saya belum pernah melaksanakan satu pun daripada semua hak tersebut. Ibu saya berbangsa Ethopia, janda kepada seorang yang beragama Majusi. Mereka menamakan saya dengan nama 'Si Kumbang Kelapa' dan tidak pernah mengajar kepada saya membaca al-Quran."

  Mendengar kata-kata si anak, Saidina Umar mengalih pandangannya kepada si ayah. Terus Saidina Umar berkata: "Saudara datang mengadu tentang anak saudara yang derhaka, padahal saudara dahulu yang telah menderhaka kepada anak saudara ini."

No comments:

Post a Comment